Aku sedang menelaah pelajaran sebenarnya, tetapi tiba-tiba saja entah kenapa aku terpanggil untuk menulis entri ini pula. Hm, oh ya tidaklah tiba-tiba sangat sebenarnya. Ianya timbul setelah aku membelek rambut rosak sambil menyapu krim Pantene.
Belek depan cermin, tengah-tengah malam pula. Mungkin juga syaitan datang membisikkan untuk terfikir yang riak-riak, untuk menganggap diri cantik. Oh...maka aku terfikir,
"Kalau aku tidak bertudung, mesti aku jadi seorang perempuan 'hot' gitu"
Eh tak beriman sungguh pemikiran itu kan? Sudah aku bilang tadi syaitan itu berbisik kepadaku. Tapi memang aku terfikir itu. Lagipun imanku pun masih senipis kulit bawang, mungkin lebih nipis lagi.
Di sini inginlah aku kongsikan perasaan yang pernah melanda diri aku. Sekali lagi aku ingatkan, jangan terkejut, kalau terkejut pun buat-buat tak terkejut.
Aku tahu aku nampak macam lembik, macam senang dipergunakan, macam baik, macam bodoh-bodoh kononnya suci kononnya 'innocent' orang putih bilang. Aku tahu itu semua, kamu tak payah beritahu, kerana memang aku dah dengar ini semua
"Eh tak percayalah kau pergi karaoke"
"Eh, kau marah ke?"
"Eh kau mana boleh dengar ni semua, kau baik."
"Eh kau buatkanlah ni, kami tak tahu. Kau tahu."
"Wah dah pandai mekap."
"Wah dah pandai pakai tumit tinggi."
Sampai aku dah tak tahu nak kata apa. =.=" Layankan sajalah tak gitu?
Okay, berbalik kepada cerita asal. Sebenarnya aku nak cakap pasal tudung tadi tapi dah termeraban entah apa-apa. Oh abaikan rapikan itu semua. Ingat, kalau terkejut pura-pura tak terkejut.
Semasa aku baru menjejakkan kaki ke alam universiti, mengambil jurusan Komunikasi Massa, aku akui aku juga mengalami sedikit kejutan budaya. Kenapa? Pada masa itu yang aku nampak semuanya perempuan dan lelaki yang melawa. Cantik-cantik, melaram, up-to-date dan sebagainya. Walhal kadang-kadang bukan up-to-date sangat pun, kelihatan begitu mungkin kerana mereka pandai menggayakannya.
Hati kecil aku kadang-kadang berbisik "eh, rasa nak buka tudunglah, lawa sikit."
Itu perkara paling aku kesali kerana pernah terfikirkan.
Tapi pada masa itu aku terfikir sahaja, kerana apa? Kerana aku mahu jadi 'in', fikir aku pun bukannya baik sangat. Pakai tudung nampak macam baik, alim padahal ilmu agama jauh ketinggalan di belakang. Semua itu datang ke dalam fikiranku.
Aku selalu dikritik
"Eh kau tak reti pakai tudung eh?"
"Eh kau baru pakai tudung ke?"
Itu semua juga membuat aku rasa semakin ingin menanggalkan tudung itu. Paling teruk pun sekitar kolej memang aku buat. Aku menyesal juga, oh tapi itu semua sudah berlalu.
Entah waktu bila satu kekuatan menyusup ke dalam diri aku. Tiba-tiba sahaja aku ada sebuah benteng jatidiri. Aku sendiri terkejut. Tidaklah jadi alim dan solehah ya amat, tetapi cukuplah sekadar untuk mengukuhkan kakiku di atas sebuah benteng tanpa menghiraukan lagi kata-kata orang. Orang pun dah penat berkata, aku sedar. Memang betullah pesan ibu dan arwah ayah
"Sesiapa mengata kita biarkan sahaja mereka. Kekallah kita menjadi diri sendiri selagi ianya benar. Lambat laun mulut mereka akan penat juga, dan kamu bisa aman."
Maka hari ini, bila aku ternampakkan hamba Allah yang sememangnya bertudung tetapi tiba-tiba menanggalkannya, aku tidak boleh dan tidak dapat menyalahkan mereka. Kerana aku juga pernah melalui perasaan dan keadaan genting itu. Godaan ke arah yang terkesimpangan memang mudah diikuti, sukar diperangi. Aku percaya bahawa punca terbesar ialah persekitaran, mungkin juga dorongan rakan. Itu semua boleh menjadikan individu bertukar haluan. Aku cuma berharap mereka akan menemui kembali benteng jatidiri mereka yang telah terbina lantas mengukuhkannya.
Isu seterusnya ialah, bertudung yang didiskriminasi. Sesetengah tawaran pekerjaan menjadikan tudung sebagai alasan. Nampak sangat tak mahu memberi peluang kepada Melayu Islam di Malaysia. Kenapa tudung harus dijadikan ukuran? Sehelai tudung tidak akan menjadikan orang pandai itu bodoh, sehelai tudung tidak akan menghilangkan pancaindera serta 5 deria yang akan digunakan. Sehelai tudung tidak akan memalukan sebuah syarikat.
Apakah alasan mereka? Tudung, kolotkah?
Kenapa tudung kepala wanita Islam sering diperkotak-katikkan sedangkan turban masyarakat Sikh boleh dihormati? Tidak pernah itu menjadi isu besar, tidakkah kamu sedar?
Kenapa tudung kepala wanita Islam selalu menjadikan dia dipinggir sedangkan dia juga mempunyai rambut cuma ianya terlindung?
Kenapa tudung kepala wanita Islam menjadikan dia mungkin tidak diterima bekerja di sesetengah organisasi? Adakah kelayakan bekerja di syarikat itu hanya memerlukan pemakaian tertentu, barulah kerja dapat berjalan jika begitu, iyakah?
Keterlaluankah jika saya simpulkan keadaan sebegini sebenarnya menunjukkan sesetengah organisasi yang bersikap sebegitu sebenarnya tidak melihat kepada akal dan otak dalam mengambil pekerja, cukuplah dengan rambut mengurai dan skirt paras lutut, semua kerja boleh jadi.
No comments:
Post a Comment