Saya pernah kehilangan seorang lelaki yang paling saya sayang dan yang paling sayang saya. Lelaki itu tidak lain tidak bukan adalah ayahanda saya. Selepas dia dijemput Ilahi, saya rasa sedih, sebab rasa macam tak cukup menghargai dia selama 13 tahun 10 bulan menjadi ayah saya. Saya selalu harap yang saya tak akan melalui lagi kehilangan serupa itu. Selalu berharap agar saya dijemput sebelum ibu. Sebab rasa tu sedih sangat. Tak dapat tergambar. Kalau tak cukup rasional dan iman di dada mungkin boleh jadi gila. Walaupun iman saya mungkin lebih nipis dari kulit bawang tetapi alhamdulillah, saya dapat melalui saat-saat itu.
Sekarang, ada lagi seorang lelaki yang sangat sayangkan saya. Tapi sejak umur saya melepasi belasan tahun, setelah saya bukan lagi anak sekolah dan mula tengok perkara-perkara dalam dunia ini, saya selalu tidak puas hati dengan dia. Saya selalu marah sebab saya rasakan dia tidak melayan orang lain dengan adil, dengan hormat. Jadi, walaupun dia sayang saya, saya selalu susah sangat nak terima bila dia terlalu baik dengan saya tetapi terlalu tidak baik dengan orang lain.
Lelaki kedua ini adalah abang sulung saya.
Baru-baru ini, beliau dimasukkan ke wad kerana diserang penyakit kencing manis. Tidak kira walau saya sentiasa bising kerana dia minum minuman manis tidak berpada-pada, dan selalu bising dia tidak mengawal makan, tidak mengawal waktu makan, dia tetap buat juga. Malahan, itu mungkin dilihat sebagai kongkongan dan untuk membukti diri tidak mahu terkongkong, dia buat semua perkara yang saya lihat sebagai 'self-destruction'. Terlalu banyak, sukar saya nak ceritakan semua. Dari gaya makan hingga gaya hidup, saya cuma nampak dia sedang tidak mengendahkan kesihatan diri.
Setelah dia keluar dari wad dan balik ke rumah, mulanya ok kemudian dia diserang sakit lain pula. Semasa dia baru stabil dan mungkin antibodi masih lemah, dia sudah keluar sepanjang malam ke mamak, ke cyber cafe. Pulang awal pagi. Satu hari, dia lemah. Nafasnya ditarik-tarik dan berbunyi aneh. Saya saran jumpa doktor tapi biasalah, dia mana akan dengar cakap saya, lagi pula saya si bongsu yang suara saya macam angin lalu saja.
Malam sebelum dia masuk wad buat kali kedua, saya bertekak dengannya, kerana nak keluar tengah-tengah malam buta nak beli ENO. Saya bertekak sebab dia tak makan, tapi nak minum ENO. Seperti biasa, saya akan dapat berdas-das balasan yang berakhir dengan dua-dua tak mengaku kalah. Tapi memang nampak saya la yang kalah sebab dia keluar pergi beli jugak.
Esoknya dia ingin ke hospital, katanya dia suspek dirinya denggi, terlihat sedikit darah keluar pada tangannya. Saya akur sahaja, hati masih panas dengan kejadian semalam, tapi ada rasa risau menumbuk dada.
Kemudian dia ditahan di wad. Hari pertama saya jenguk sekejap sahaja pada waktu malam. Berat badannya turun mendadak walaupun tak perasan sangat sebab fizikalnya besar, tapi memang risau juga mendengarnya.
Hari kedua saya datang melawat. Hati sudah sejuk. Dan dia nampak sangat lemah. Pegang cawan pun terketar. Makan setakat sesudu dua. Saya tak tahan lagi. Saya menangis di situ juga. Mula timbul sedih yang amat sangat. Mula takut kehilangan lagi.
Hari ketiga datang sekejap juga. Kali ini berbuka di sana, selepas solat Maghrib, saya dan mama pulang. Hari ini keadaannya nampak lebih baik dari sebelumnya.
Hari keempat datang melawat, kami duduk lama. Dari jam 4 hingga selepas berbuka menemaninya. Dia nampak ok juga. Tapi doktor kata bukan denggi, dia terkena jangkitan kuman pada peparu. Saya sangat takut bila mendengar tentang jangkitan kuman pada peparu, kerana seorang jiran saya pernah meninggal dunia atas sebab itu.
Hari kelima (hari ini, Jumaat 2 Ogos 2013), saya tak dapat menjenguknya kerana ketiadaan parking yang senonoh sedikit. Mama berhentikan kereta di tepi laluan berdekatan wad, maka saya kenalah jaga kereta sementara mama masuk ke wad untuk berikan sedikit barang-barang dari rumah seperti air panas, air mineral dan madu kepada abang long saya. Takut pula kalau saya keluar sekali tak pasal-pasal disaman atau 'clamp' pula. Dan memang kena halau dengan guard pun ~_~", berpusing-pusing kat kawasan GH tu supaya dapat nampak mama kalau turun.
Mama kata banglong punya batuk dah mula berdarah. Bukan kahak biasa saja. Mungkin kerana beliau terlalu banyak batuk. Tak tahu sakit apa, takut nak fikir yang bukan-bukan. Tapi saya harap banglong sembuh. Dan saya harap kehidupannya lebih panjang berbanding kami yang lain. Ya Allah tolong banglong....
No comments:
Post a Comment