Wednesday, 17 July 2013

Pilihan yang tepat...?

Kadang-kadang hidup ni pelik. Bila kita tidak ada apa-apa, langsung tidak ada satu benda pun yang datang kepada kita. Tenang sahaja, tetapi tidak berharta. Jiwalah harta kita, keluargalah emas permata. Yang kurang, cuma kerjaya. Kerja, maksud aku. Kerana jaya dalam kerja itu jarang aku nampak melainkan jika disertai azam tinggi dan kepenuhan isi hati nurani. Jiwa yang suci dari sifat dengki, amarah, memendam geram, jeruk hati dan sebagainya. Selalunya kerja memang begitu, orang kata, macam itulah kehidupan. Tidak selalu di atas sahaja. Bukan hanya gembira dan manis sahaja. 

Setelah 5 bulan menanam anggur khayalan, aku pun dipanggil temuduga dengan sebuah syarikat yang aku yakin jugalah kedudukannya. Syarikat besar ni, orang kata stabil. Walaupun jawatan biasa dan tidak ada kena mengena dengan kelulusan aku tetapi peduli apa? Janji hati aku rasa ringan, suka dan tenang saja bila memikirkan. Jujur aku katakan, gaji yang ditawarkan adalah sederhana saja kalau nak diikut skala budak 'degree'.

Tapi aku tak kisah. Yang penting pengalaman baru yang bakal aku dapat, pelajaran baru yang pasti sedikit sebanyak dapat membuka pandangan aku dengan lebih luas lagi. Cumanya, datang pula perkara-perkara yang menimbulkan dilema. 

Aku dihubungi semula syarikat yang dulu aku berkhidmat dengannya. Dilamar untuk jawatan sama dengan gaji yang lebih tinggi lagi berbanding kerja yang bakal aku mulakan tidak lama lagi. Diumpan pula kononnya mahu membawa aku ke London. Wah? Apakah ini?

Mulanya aku rasa macam agak teruja, walaupun aku tahu bahagian London tu hanyalah umpan semata-mata. Aku mohon waktu untuk memasakkan fikiran. Tetapi waktu itu rupanya tidak diperlukan lama. Kerana jawapan memang tidak sukar untuk dibuat. Aku berhasrat menolak. Dengan susah payah aku melepaskan diri dari terus-terusan bersubahat membantu orang makan hasil curi tulang, dengan susah payah aku lepaskan diri dari posisi yang mudah teraniaya (dan memang hampir teraniaya kalau aku tak cepat tangkap apa yang berlaku), aku takkan kembali lagi dibawah penyeliaan yang sama, jabatan yang sama.

Setelah aku menolak secara rasmi dan secara baik, bukan main lega hati aku. Rasa dah buat keputusan yang benar-benar tepat. Tetapi kelegaan aku tidaklah terhenti di situ sahaja. Keesokannya (hari ini), aku mendapat panggilan dari bekas rakan sekerja, melamar aku untuk jawatan lain pula, di bawah seliaan dan jabatan lain pula, dengan gaji yang ditawarkan tinggi sedikit berbanding tawaran sebelumnya. Aku terkedu, tetapi cepat membuat keputusan tanpa perlu masa untuk berfikir lagi.

Aku menolak sekali lagi. Dan hati aku rasa lega sekali lagi. Dua kali aku ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi, dengan lokasi yang sungguh mudah bagi aku, menjimatkan, mempunyai seorang teman rapat di sana untuk bersama-sama, semuanya kedengaran sungguh baik, sungguh bagus untuk aku kecuali perkara yang membuatkan aku berpatah arang berkerat rotan itu. Kerana satu perkara, aku rela bekerja jauh, aku rela pendapatanku sedikit rendah, aku rela bekerja shif, aku rela menghadapi itu semua inshaa Allah. Kerana hati aku sangat tenang bila menerimanya. Bukan soal wang yang terlebih penting, memang wang mampu membuatkan mata menjadi gelap, butalah aku kalau ingin kan lebih kertas cetak bernama ringgit, sanggup menggadai jiwa dan ketenangan hati sendiri.

Banyak jawatan Management Trainee yang aku mohon, jawatan ini juga yang panggil. Ramai orang hebat dan berpenampilan bagus datang temuduga, alhamdulillah aku salah seorang yang terpilih. Memang aku suka untuk mendapatnya tetapi aku cuba meneutralkan hati agar aku boleh redha jika tidak mendapat, dan bersyukur jika dapat. Aku serik untuk terlalu mahukan sesuatu tanpa mengetahui baik buruknya. Dahulu, memang aku mahukan sangat syarikat lama tempat aku bekerja itu. Kalau kita mohon, Allah tunaikan. Semasa aku memohon dulu, aku terlalu taksub. Aku mohon agar aku dapat bekerja di situ. Setiap hari, sungguh-sungguh, tanpa sedikit pun menyerahkan kepada Allah agar memberikan pekerjaan yang baik untuk diriku dan agamaku. Aku mohon apa yang aku mahu sahaja. Allah tunaikan, tetapi bala yang menimpa memang amat hebat, sehingga aku sendiri tersungkur dan memilih untuk berundur diri.

Kali ini, hati aku tenang. Kerana dalam banyak permohonanku, ku selit jikalau inilah jodoh aku, di sinilah rezeki aku, jikalau ini baik untukku, ku mohon mendapatnya. Dan bila aku dapat, satu ketenangan menyusup dalam hati, perasaannya tidak dapat digambarkan dengan begitu tepat dengan kata-kata. Mungkin tawaran-tawaran seterusnya yang aku dapat dengan gaji yang tinggi itu ujian bagi aku. Apa pun, aku memang sungguh-sungguh berharap menolak pelawaan mereka itu adalah perkara yang tepat, dan yang terbaik untukku.

Buat masa ini, aku cenderung ke arah mana hatiku berasa ringan. 
Kerana kadang-kadang, hati kita berkuasa memberitahu sesuatu.
Dan mungkin juga kerana doa yang kupohon, aku tidak betah ingin menolak rezeki yang telah diberikan kepadaku, aku tidak mahu memilih perkara yang tidak pernah terselit dalam doaku. 
Dan aku harap, aku akan mampu menghadapi segala dugaan yang bakal menimpa dalam alam pekerjaan baruku nanti. Aku yakin setiap pekerjaan, setiap tempat akan ada dugaannya. Cuma kerana kurniaan rezeki ini, aku berharap aku akan lebih kuat, lebih positif dan lebih bersedia.

Tau tak mula-mula aku rasa macam apa? 

Aku rasa situasi macam dah terima pinangan orang tiba-tiba dipinang pula orang yang lebih berharta. Untuk menguji kesetiaan aku. Cewah, feeling dramatik sangat kan?

Apa pun, aku mengharapkan segala yang terbaik. Inshaa Allah.
Semoga dipermudahkan. Siapa yang terlanjur baca post ini, mohon doakan kebaikan untuk aku juga ya?

:)
 

No comments:

Post a Comment