Aku selalu mendengar, "lelaki yang baik untuk perempuan yang baik" dan sebaliknya. Kata-kata itu memang sudah terlali melalui soket mata dan corong telinga, tetapi tidak pernah pula aku menguji dan mendapatkan kepastian. Iyalah kan, kadang-kadang atau selalunya kita melihat pasangan dan berkomen macam ni:
"kenapa A dengan B padahal A tu baik yang B tu macam @*&^%#*$"
Lepas tu kita tengok yang stok alim, ustaz ustazah pasti berkahwin dalam kalangan mereka juga. Artis kahwin dengan artis atau jiran dia, atau tukang mekap, jurukamera blablabla. Kita tak tahu pun tahap kebaikan atau keburukan mereka semua ni, kita cuma tengok mereka lebih tertarik pada yang berlatarbelakang sama.
Maka aku mencongak-congak kekurangan diri. Memang terlalu banyak. Dari segi agama kalau nak nilai, mungkin markah aku sangat corot. Tetapi tidaklah terus jahil kan. Tak mahu aku bercerita panjang tentang itu kerana kita tidak patut menceritakan aib diri apabila Allah telah melindunginya. Sedikit pesanan ringkas ya. Contohnya macam ni, kalau semalam kita ada buat jahat, keesokannya janganlah kita pergi cerita pada orang lain bahawa semalam kita telah berbuat jahat ini dan itu. Kerana Allah telah melindungi aib itu daripada diketahui. Kalau memang semua orang tahu tanpa diberitahu tu lainlah kan.
Okey, sambung perkara tadi. Aku membuat keputusan untuk terus menguji perihal ini. Ada seorang lelaki soleh yang kukira cukup alim untuk aku melontarkan pertanyaanku.
Jawapannya, cukup memuaskan hati. Cukup menjawab perkara yang lazim didengar selama ini.
Seorang seperti dia, mencari calon pasangan hidup melalui peribadi dan latar belakang keluarga dan agama. Calon itu, mestilah dirasakan paling layak dan paling sesuai menjadi ibu kepada anak-anaknya nanti. Kerana anak-anak itu sedikit sebanyak akan mengikuti jejak ibunya. Baik ibu maka baiklah anaknya nanti. Rosak ibu maka dikhuatiri akan rosak pula peribadi anaknya. Mendidik anak dilakukan semenjak belum dilahirkan lagi. Maka jika diberi pilihan, antara wanita solehah atau wanita yang perlu dibimbing, semestinya dia akan memilih yang lebih diyakini kualitinya. Fahamkan maksud aku?
Cuma, dia seorang soleh, pastilah tidak akan menolak jika ditakdirkan dia akan bersama wanita yang harus diberi bimbingan sehinggalah menjadi seorang solehah sejati. Aku tak dapat nak menyiarkan jawapan dia di sini kerana pertanyaan aku itu pun tidak dirancang untuk dikongsi di sini. Cuma entri ini aku nukilkan untuk menunjukkan betapa bagaimana seorang soleh mencari pasangan hidupnya.
Cinta itu soal kemudian, cantik itu tidak diberi perhatian berat. Jika diberi pilihan, yang manakah pilihan kamu?
No comments:
Post a Comment