Thursday, 3 May 2012

Melihat cantik dalam pejam

Kalau kecantikan yang menjadikan hati itu sayang, bila mata kamu tertutup, sayang itu tidak berdasar kepada apa-apa. Kalau kecantikan itu yang menjadikan hati jatuh cinta, pudarlah ia setelah kecantikan itu berlalu pergi. Kehilangan kecantikan adalah pasti, seiring dengan perjalanan waktu muda menuju tua. Kecantikan tidak akan dapat menjamin apa-apa. Kerana wanita yang cantik akan cepat dapat memikat lelaki yang mudah tertarik kepadanya, tetapi kerana kemudahan itu maka mudah juga untuk lelaki itu meninggalkannya bilamana kecantikan itu mulai pudar. Umur 20 memang cantik, kalau dah umur 60, biasalah kalau muka berkedut, rambut memutih, kulit tidak anjal lagi. Kecantikan, kalau cinta dan hati kamu kepada cantik dan manisnya rupa, indahnya zahir, kamu mungkin tidak akan dapat merasai tulus kasih sayang dan cinta. Kerana kamu sandarkan kepada sesuatu yang memuaskan mata, cantik membeli sayang, cantik membeli jiwa, cantik membeli perhatian. Tutup matamu, mungkin terbayang dia yang cantik, tetapi tidak terbayang jika cantiknya menghilang bukan? Tidak terbayang jika cantiknya hasil mekap berjam-jam, tidak terbayang kadangkala yang cantik itu bangkit setiap pagi dengan kurang kadar cantiknya.

Kalau sayang itu tautannya ialah hati, tapak asasnya lebih teguh berdiri. Kerana kalau kamu mengenalinya dengan hati, kamu akan dapat melihat jalannya sekalipun matamu tertutup. Setiap hati punyai piawaian kecantikannya yang tersendiri, bergantung kepada pilihan yang berkelana dalam mencari sekeping hati yang dapat menampung hatinya.

Kenali cinta itu bukan kepada cantiknya dia, kenali cinta itu dengan mengenali hatinya. Tetapi ingat, kenali juga hatimu sebelum kamu mencari jalan itu, kerana tanpa mengenal hatimu jalan terdampar di hadapanmu pasti kabur, tidak menentu, tidak ternampakkan arah ingin dituju. Macam sukar difahami kan? Hamba pun rasa begitu. Maksudnya, bila kamu kenali diri kamu, tidak perlu lagi kamu berpura menjadi orang lain di hadapannya. Kamu bebas menjadi diri kamu, bebas untuk menangis dan marah, tertawa dan melakukan apa sahaja yang tidak membatasi kamu daripada menjadi dirimu. Jika hatinya yang kamu mahukan itu benar-benar menyentuh hatimu, siapa tahu mungkin kamu akan berubah dan terarah kepadanya tanpa kamu sedari. Tetapi lazimnya jika kecantikan dia yang menambat hatimu, kamu berubah sikap hanyalah untuk memenangi dia agar menjadi milikmu.

Adakah kamu ingin yang cantik dan manis? Atau kamu inginkan hati yang mendamaikan? Apakah kamu mahu pendamping hidup atau penghibur di kala muda sahaja? Sedarkah kamu cinta itu tidak memerlukan kamu menjadi seperti dia ataupun dia menjadi seperti kamu, cinta itu bila kamu menjadi kamu dan dia menjadi dia, tetapi masing-masing mampu menerima perbezaan itu dengan hati terbuka. Ada masanya kamu akan terluka, tersinggung dengan sifatnya, begitu juga dia terhadap kamu, tetapi luka itu tidaklah separah apabila kamu terpaksa berpura menjadi orang lain untuknya. Kepura-puraan tidak akan dapat bertahan lama, satu hari bila segalanya sudah tidak tertanggung, benteng itu akan pecah juga.


p/s: jadi diri sendiri tidak bermaksud boleh meninggalkan kewajipan. Kewajipan itu tanggungjawab oleh itu haruslah dilaksanakan. Jangan jadikan entri ini sebagai alasan tak mahu melaksanakan kewajipan kerana menjadi diri sendiri ok? :) Peringatan untuk diri hamba dan juga semua :)

No comments:

Post a Comment