Sunday, 9 October 2011

[NUKILAN] Kisah si layang-layang...

Ada seekor burung layang-layang. Dia berterbangan di udara. Walaupun dirinya agak kecil, tidaklah sebesar dan gah seperti burung helang mahupun enggang. Jauh sekali jika ingin dibandingkan dengan seekor burung garuda. Kadang-kadang dia merasakan bahawa dirinya sangat kecil dan terawang-awangan. Tidak kukuh. Dia ingin menjadi tegap seperti rakan-rakannya yang berlainan spesis itu.

"Tapi bagaimana pula?" Fikirnya. Susah juga kalau burung nak berubah rupa. Kalau boleh buat pembedahan plastik dan suntik botox sampai kembung dan besar pasti si layang-layang ni dah pergi buat. Sebegitu sekali dia mahukan menjadi besar dan kelihatan hebat. Barulah burung-burung lain akan menghormatinya, betul tak?

Dia pun tidak pandai bersolek dan bercantik-cantik macam burung merak. Wah cemburu betul dia. Nak calit-calit warna putih pada tepi-tepi badan macam burung murai pun dia tak reti. "Macam pakai T-shirt pagoda sahaja." Kesian betul si layang-layang ni. Tak dapat merasa Elianto, MAC, Maybelline dan sebagainya~.

Dia terbang-terbang. Sesuka hati sahaja nak pergi ke mana. Siapalah yang kisah dengan dia ni. Nak masuk dalam peribahasa Melayu pun tak ada sesiapa pun yang terfikir nak cadangkan namanya. "Walaupun pipit tu lagi kecil, tapi orang sebut-sebut dalam peribahasa sampai sekarang." Si layang-layang mengenang nasib. "Siapa yang menyebut nama aku?" Sugul. Dia terus terbang.

Lagu berkumandang di corong radio, Rajawali dan Tanya Sama Itu Hud-hud nyanyian M. Nasir. Wah M. Nasir penyanyi kegemaran si layang-layang, tapi M. Nasir pun tak mahu berdendang tentang dirinya? Sedih. Dia berharap dirinya akan dinyanyikan dan menjadi siulan juga.

"Apalah malang nasib aku ni, hidup di bumi umpama melukut di tepian gantang, masuk tak penuh keluar pun tak kurang. Tengoklah pencapaian yang lain-lain. Aku ni, tak ada apa nak dibanggakan. Tak popular pula tu."

Si layang-layang mengeluh lagi. Hidup ini sungguh tak adil, itulah bisik hati kecilnya pada perkiraan patik kiranya patik mampu menilik hati yang bernyawa.

Senja yang kian melabuh membawa si layang-layang kembali ke tempat beradunya. Oh, dia sudah terlupa dia punyai anak di dalam sarang. Seharian dia berterbangan melayan kekecewaan diri hingga terlupa tanggungjawabnya sebagai orang tua (burung tua) kepada yang muda. Tatkala tiba, burung layang-layang ini terkejut.

"Sarang aku...sarang aku...sarang aku hilanglah!!!"

Tergolek-golek anaknya di tanah. Kasihan si layang-layang, umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Hatinya yang resah ditambah dengan dugaan yang baru. "Bersabarlah wahai layang-layang," kata patik kepadanya semoga dia beransur lega dengan sokongan patik.

Si burung layang-layang kini sudah melupai kegusarannya. Dia lalu nekad membina sarang baru untuk keluarganya. Berbekalkan anugerah Allah subhanahuwataala, si burung layang-layang mula membina tempat teduhan anak-anaknya, menggunakan air liurnya sendiri. Dengan anugerah Allah subhanahuwataala terhadap dirinya yang satu ini, dia tidak perlu gusar dan lelah mencari reranting kayu untuk membuat rumah, malahan sarangnya kaya khasiat, diidam juga oleh manusia-manusia yang mengikuti petua kecantikan dan awet muda.

Kini si layang-layang sibuk dengan hidupnya. Tidak difikirkan lagi perihal-perihal duniawi dan hiburan fana yang didambakannya selama ini. Apa yang penting ialah perlindungan bagi dirinya. Dia ni pandai juga sebenarnya, dah baca Maslow Hierarchy of Needs agaknya. Keperluan keselamatan merupakan salah satu asas sebelum mendapat keperluan kasih sayang, keyakinan dan kepuasan/kemantapan diri.

Kata patik,

Wahai sang burung layang-layang, janganlah kamu bersedih hati. Karena karunia Allah terhadapmu sudah terlalu besar. Kamu tidak disebut-sebut manusia di bidang yang popular, tetapi kamu menjadi subjek menarik untuk dikaji dalam industri saintifik. Sekalipun kamu tidak pandai merias diri seperti merak dan murai, janganlah kamu bersedih hati dan berasa diri tidak mendapat perhatian. Kewujudanmu telah aku baca dan aku kagumi, semenjak zaman aku masih belum pandai membaca bahasa penjajah dan mengira darab bahagi. Dari sebelum aku menjadi anak-anak sekolah, aku sudah mengenalimu wahai layang-layang yang membina sarang dengan air liurmu sendiri. Kamu dihargai, sungguhpun tiada peribahasa yang menyebutmu. Kamu hidup dengan kekuatanmu yang kamu punyai, usahlah cemburu dengan kekuatan yang dipunyai mereka. Hakikatnya, kamu harus sadar, bahawasanya begitu ramai manusia yang tergila-gilakan kamu. Oleh sebab itu sarangmu kerapkali hilang. 


Wahai sang burung layang-layang, aku menulis ini bukan sekadar mahu mendapat sarang percuma daripadamu. Nukilan ini terbit karena aku melihatmu berterbangan di udara awal siang tadi. Karena rupamu yang tidak popular, aku jadi tidak mengenalimu. Aku cuma mengetahui kamu tanpa mengenal rupamu oleh itu maafkan aku. Tetapi saudaraku mengenal rupamu. Dan mengenal sifatmu yang bisa untuk tidak menggerakkan sayap jika terbangmu sudah terlalu tinggi. Maka pada hari ini aku mengenal rupamu. Dan aku mengenal kibasan sayapmu yang dinamik dan estetik. 


Tuhanku dan tuhanmu telah memperkenalkan aku denganmu hari ini, maka aku bersyukur. Terbanglah wahai sang layang-layang, dan ingatlah, bahawasanya seluruh dunia mengenal dirimu :)

*entri ini, kalau kamu meneliti mungkin dapat diaplikasi ke hidup kamu. Karena kita semua merupakan hidupan bernyawa. Semoga kamu bisa mendapat semangat jikalau kamu bagai si burung layang-layang yang patik nukilkan :)*

No comments:

Post a Comment