Sunday, 25 September 2011

Melihat Tanpa Penglihatan

Wah macam tajuk lagu atau puisi saja kan?
Hehe tapi sebenarnya bukan.
Cuma nak kongsi sikit pengalaman.


Peristiwa berlaku Khamis minggu yang lalu.
Aku menaiki bas untuk menuju
Pergi ke mana? Pergi ke U~


Stesen LRT Bangsar, aku berhenti.
Di perhentian bas, aku menanti.
Dalam bas, aku berdiri.


LOL, maka macam itulah mukadimahnya. 
Tapi yang menariknya baru bermula.
Selepas lebih separuh perjalanan dan hampir tiba.

Sepanjang perjalanan, dari menaiki bas di stesen LRT Bangsar hinggalah hampir ke Hentian Bandar Shah Alam, aku berdiri di tepi tingkap. Tiada tempat duduk. Tak mengapalah, sebab pagi lagi, bukanlah penat sangat pun.

Di Hentian Bandar *kalau tak silap*, dah ramai penumpang yang turun. Aku tergerak untuk duduk pula. Dah tak berapa jauh nak sampai di hentian Seksyen 2 sebenarnya. Tapi nak duduk juga.

Maka aku pun memilih tempat duduk yang betul-betul berhadapan dengan pintu nak turun bas. Bas Rapid tu kan ada 3 kerusi warna oren khas untuk OKU. Di situlah aku duduk, tepi sekali belah kanan.

Di kerusi tengah ada seorang makcik duduk. Aku tengok dia tunduk saja. Tidur agaknya. Aku tak lah memandang tepat-tepat apa yang dibuatnya.

Tiba di satu selekoh, bas tu macam gila sikit breknya maka aku pun terus pegang tiang bas yang ada di depan mata. Pada waktu yang sama, tangan makcik tu pun terus nak mencapai tiang juga. Tapi dia memegang tangan aku.

Aku memandang, kali ini betul-betul memandang.
Oh, makcik ini cacat penglihatan rupanya.
Dan aku sadari aku memang pernah melihatnya di perhentian bas pada semester yang lalu.
Menyedari dia sudah tersilap pegang, tangannya diturunkan sedikit agar kali ini berpaut pada tiang.

Aku berhasrat untuk bertanya.

"Makcik nak turun kat mana?"

"Seksyen 2"

"Oh saya pun sama."

Bas berhenti.

"Dah sampai ke dik?"

"Belum lagi"

Apabila tiba di Seksyen 2, dan bas sudah hampir untuk berhenti untuk menurunkan penumpang, makcik tersebut sudah bersiap sedia membuka tongkatnya. Kami turun. Makcik ingin menunggu bas T529 manakala aku akan menaiki T603. Setelah memastikan makcik duduk dengan selamat di perhentian bas, aku mengejar bas T603 yang akan membawa aku ke perhentian bas di hadapan Fakulti.

Aku terdetik.

Bagaimana seseorang yang tidak mempunyai penglihatan, boleh mengetahui tempat berhentinya tanpa melihat. Ianya semacam satu penglihatan tanpa memerlukan mata. Sedangkan kita yang sempurna penglihatan, naik bas, kadang tertidur, terlajak perhentian dan sebagainya.

Macamana kalau makcik ni tertidur? Pernahkah dia terlepas perhentian bas? Adakah setiap hari akan ada orang yang membantunya mencari bas T529? Adakah setiap hari ada orang membantunya menaiki bas U80 ini? Adakah? Bagaimanakah?

Cuba bayangkan diri kita. Jika kita tutup mata, dan cuba untuk berjalan di tengah bandar. Bagaimanakah perasaan itu? Tidakkah kita berasa takut, lemah dan khuatir? Aku pernah terbaca sebuah artikel dalam akhbar The Star. Sepasang suami isteri yang cacat penglihatan mengambil 2 orang anak angkat yang juga tidak mampu melihat.

Keempat-empat mereka melalui hidup dengan bahagia. Mereka menghafal selok-belok jalan, mengingati setiap bunyi yang akan membantu mereka untuk meneruskan perjalanan sehari-hari. Mereka menggunakan sentuhan untuk merasai keberadaan yang tersayang.

Begitulah mereka melihat dunia ini tanpa penglihatan.

Kita yang dikurniakan penglihatan oleh-Nya, gunakanlah ia sebaik-baiknya. Kadangkala, dengan disedari mahupun tanpa disedari, kita terjebak dalam zina mata. Kita suka melihat perkara-perkara yang tak sepatutnya kita lihat. Dan kadangkala, kita tidak mahu melihat perkara-perkara yang wajar kita lihat, dan ambil pengajaran darinya. Sejauh manakah kita mensyukuri ni'mat penglihatan kita?  

No comments:

Post a Comment