Friday, 5 August 2011

Kenangan

"Seronok ke hidup dalam kenangan? Tak rasa rugi ke tak meni'mati setiap kebagusan yang berlaku dalam hidup kita pada masa ini?"


Hidup dalam kenangan bukan satu pilihan. Kenangan itu sentiasa dalam hati. Ia menghuni hati kerana hati itu mencintainya. Kenangan tak akan tercipta jika ianya tidak bermakna. Kenangan melegakan kelirihan jiwa, kenangan rasanya merenggut tampuk hati kerana keterlaluan kapasiti estetika mengikut kehidupan masing-masing. 


Setiap orang mempunyai kenangan yang berlainan, mungkin mengingati satu peristiwa yang sama tetapi dari sudut yang berlainan. Itulah yang terlalu istimewa. Kenangan itu, jika dibenci maka ia tidaklah menjadi kenangan tetapi tragedi, trauma dan sebagainya.


Tak salah terkenang, mengenang, dan menyayangi kenangan sebagaimana kamu mencintai cita-cita yang bakal mendatang. Tak salah kamu melalui hari ini dengan terkenangkan memori lalu yang menjadikan diri kamu hari ini. Tak salah. 


Kenangan itu tidak bersalah. Ianya merupakan cerita hidup. Cerita hidup kamu, cerita hidup saya, cerita hidup dia, cerita hidup mereka. Kenangan indah membuat kamu tersenyum, mungkin juga menitis air matamu.


Kadangkala kenangan dapat membuat kamu bersemangat. Kenangan dapat mengukuhkan cinta yang sudah berantakan. Kenangan menimbulkan kembali empati yang sudah luntur. Kenangan memenuhi ruang hatimu, semoga dengan kepenuhan itu cintanya kamu limpahkan kepada mereka yang disekelilingmu.


Jangan kunci kenangan itu di dalam peti semata-mata untuk mengejar cita-cita yang jalannya masih kabur dan mungkin berlalang tinggi untuk dilalui. Bingkailah kenanganmu dan pamerkan di sekelilingmu agar dapat kamu lihat secara jelas, semoga ia dapat menjadi petunjuk arah bagimu bila menghadapi kegusaran dan kekeliruan pada masa hadapan. 

No comments:

Post a Comment