Saturday, 20 August 2011
Kenangan Ramadhan #5: Antara Atuk dan Kem IM
9 Ramadhan 1431 Hijrah, aku kehilangan seorang lagi insan yang boleh dikatakan rapat juga. Eh, aku tidak kehilangannya, dia hanya kembali ke pangkuan Ilahi. Hapuslah sudah segala derita dunia yang dialaminya sejak beberapa bulan sebelum dia kembali ke rahmatullah. Siapakah orang kesayangan aku ni? Beliau merupakan atuk aku, atuk sebelah mak yang menetap di Ulu Kelang, 10 minit perjalanan saja dari rumah aku~
Kepergian atuk tidak begitu meninggalkan beribu sesal sebagaimana semasa kepergian Baba. Mungkin hal ini kerana sejak kepergian Baba aku telah menjadi seorang yang super-sensitif terhadap orang-orang sekelilingku. Begitulah yang orang kata sesuatu yang melanda itu pasti mempunyai hikmah dan rahmat di sebaliknya. Daripada hidup sebagai seorang budak perempuan yang tidak pedulikan apa-apa melainkan hal dirinya sendiri, aku seperti transform kepada seorang yang 180 darjah berbeza dari sebelumnya. Itulah, Allah have so many ways of giving to His slaves. Alhamdulillah, walaupun Allah s.w.t. telah menyeru Baba ke pangkuanNya, tetapi Dia telah mengurniakan aku perasaan dan gerak hati yang tak aku punyai sebelum peristiwa itu. Alhamdulillah.
Berbalik kepada cerita asal. Sebelum tiba bulan Ramadhan 1431 Hijrah, MPP fakultiku iaitu Abang Ejat telah mengeluarkan satu senarai nama pelajar yang akan dihantar untuk menyertai kem IM. Memang ada lah nama aku salah seorang yang tersenarai. Apa benda tu IM pun aku tak tahu. Bila aku tanya kat bilik SMF tu perihal kem IM ni, semua nak buat saspen. Aku lagilah saspen bila Ayu dan Nisa kata diorang tak boleh pergi sebab dah semester 5. Bila aku tanya Azam, katanya kem Inspirasi Mahasiswa. Dulu waktu dia masuk kem OM. Hah apa-apa jelah labu. Aku kecut juga kem-kem yang menjurus kepada MPP ni, sekali kena paksa bertanding habislah aku.
Jadualnya tak silap aku ialah pada awal bulan Ramadhan. Mula-mula aku macam akur la juga. Iyalah, kenalah pergi walaupun hati macam tak rela. Tapi agaknya seronok juga sebab nanti dapat ramai kawan baru. Macam-macam gejolak perasaan hinggalah aku mendapat tahu, tak ingat melalui telefon ke apa. Aku dapat tahu yang atuk sudah tak boleh bangun dan berjalan-jalan. Orang putih panggil bedridden. Semua harus dijalankan di tempat tidur. Makan, minum, buang air dan sebagainya. Tapi makan dan minum tak dapat dikira, kerana sejak bulan 6 lagi selera makan atuk memang susah semakin surut. Biskut makan segigit sahaja sudah tak boleh masuk. Air teh susu buatan MakLong yang sedap tu pun sudah tidak dapat diteguk berselera seperti selalu.
Atuk sudah bedridden. Aku masih di UiTM. Hujung minggu ada kem IM. Macam dalam dilema kan? Tapi bagi aku, perkara ini tidak memerlukan aku untuk berfikir terlalu banyak. Keputusan sudah dibuat.
Keesokannya:
Aku : Abang Ejat, sorry Ai (aku cakap nama aku la, yang ini dah disingkatkan) tak dapat pergi kem IM tu, ada sebab/masalah yang tak dapat dielakkan
Abg Ejat: Apa masalah yang tak dapat dielakkan tu?
Aku : Saya nak balik hujung minggu ni, jenguk atuk saya sakit.
Abg Ejat: Oh okey-okey tak apa.
Maka pada hujung minggu tu aku pun pulang ke rumah untuk ikut Mama pergi rumah atuk. Aku betul-betul nak tengok atuk selagi dia masih hidup. Aku juga nak atuk nampak aku sebelum dia pergi meninggalkan dunia ni. Aku tak mahu menyesal di kemudian hari.
Bila tiba di rumah atuk, keadaannya memang menyedihkan. Atuk terbaring di kerusi yang dialas kain dan ada la sikit bantal. Kadang-kadang atuk minta untuk duduk sebab dah tak selesa berbaring. Kakinya bengkak. Atuk kata dia rasa sakit sangat, tak dapat nak digambarkan. Memandangkan aku adalah hafal satu do'a sakit (yang aku baca kat diri sendiri bila sakit perut sakit kepala whatsoever yang menyerang aku) maka Mama meminta aku untuk membacakannya pada atuk semoga kurang sedikit rasa sakitnya. Aku harap apa yang aku buat itu dapat meringankan bebannya. Itu sahajalah perkara termampu aku lakukan sebagai seorang cucu pada waktu itu.
Atuk, sejak dari zaman aku sekolah lagi, selalu suruh aku jadi doktor. Tapi masa atuk cakap tu aku dah pun dalam tingkatan 5 dan tingkatan 6, waktu yang dah terlambat untuk memilih profesi dalam bidang sains. Kalau atuk beritahu awal-awal lagi mungkin aku takkan buat keputusan bodoh pergi tukar ke kelas Prinsip Akaun masa tingkatan 4 dulu, aduh...
Aku teringat masa aku awal-awal masuk universiti pada tahun 2009. Kelas Photo Communication waktu semester 1 telah diatur untuk menyertai lawatan sambil belajar di Zoo Negara. Kebetulan rumah atuk di Ulu Kelang sahaja. Sebaik sahaja atuk mengetahui bahawa aku akan berada di Zoo Negara pada hari itu, dia meminta ibuku untuk membawanya datang berjumpa denganku.
"Jah, bawak bapak. Bapak nak jumpa Nana"
Maka petang tu sebelum bas bertolak kembali ke UiTM, Mama dan Atuk datang untuk bertemuku di pagar hadapan Zoo Negara. Aku rasa terharu, tetapi pada waktu itu perasaanku tidaklah serawan perasaanku sekarang, sewaktu atuk sudah tidak boleh lagi duduk dan makan seperti biasa. Tidak mampu lagi untuk beribadah seperti biasa. Aku sudah merasakan bahawa masa atuk sudah tidak begitu lama, apabila aku pulang untuk menjenguk atuk dan dia masih bernyawa, aku jadi sedikit lega. Sekurang-kurangnya, jika atuk meninggalkan dunia selepas ini, sungguhpun aku tidak ada di rumah, hatiku tidak akan menjadi begitu sesal.
Selesai hujung minggu tersebut, aku kembali ke kolej seperti biasa. Menjalani kehidupan kuliah sehari-hari seperti biasa. Tiba hari Khamis, aku tidak bercadang pun untuk pulang ke rumah pada hari itu kerana sudah hampir pukul 6 petang. Malas sungguh rasanya nak pergi tunggu bas dan melalui perjalanan pulang yang begitu panjang dan meletihkan. Lagipun keesokan petang aku ada kelas Animation Technique (waktu ni kelas Animation masih lagi hari Jumaat, belum ditukar ke hari Rabu. Tak silap aku la..eh? Ataupun ini kelas ganti, lupalah pula tapi yang penting memang ada kelas Animation Technique petang hari Jumaat tu).
Tetapi entah mengapa, hati aku berkata sebaliknya. Gerak hati aku mendesak aku untuk pulang hari itu juga, tak perlu tunggu sampai esok malam. Aku mengatur langkah menunggu bas. Lebih kurang hampir pukul 9, aku tiba di Wangsa Maju. Perlu berjalan pulang kerana nak buat kejutanlah konon.
Di pertengahan jalan, Banglong menelefon. Katanya Pakcu memberitahu yang atuk sedang nazak. Aku terus menelefon Mama dan bertanyakan keadaan atuk.
Mama: Nana, atuk dah meninggal tadi lebih kurang pukul 8. Selepas buka puasa. Sekarang mama kat rumah atuk.
Aku, Bangah dan Kaklang pergi ke rumah atuk menaiki teksi. Mama melarang aku memandu memandangkan skil aku yang tak berapa bagus dan jalan yang sibuk akibat pasar malam. Dia tidak mahu aku buat hal pula buatnya terlanggar kereta lain ataupun orang, kan ke naya~
Setibanya kami di rumah atuk, aku tengok ramai sungguh ahli tahfiz Surau Al-Mustaqim sedang membaca Yaasin. Ramai sehingga ke luar rumah. Setelah mereka selesai, aku mendapatkan Mama di dapur. Aku merasakan bahawa aku perlu untuk memberinya sokongan emosi semampu aku, kerana aku juga sudah merasai keperitan perasaan kehilangan bapa. Aku terus memeluk Mama.
Aku: Mama okey?
Mama: Mama okey. Kau dah tengok atuk?
Aku: Belum.
Mama: Pergilah tengok.
Aku ke ruang tamu di mana jenazah terbujur. Mak Teh membukakan kain penutup muka atuk. Wajah atuk...
Tersenyum. Tersenyum lebar. Tersenyum sehingga matanya turut tersenyum. Sungguh-sungguh.
Aku dan Kaklang: Mama, kitorang tak boleh nak rasa sedih bila tengok muka atuk. Atuk nampaknya sungguh bahagia. Mungkin dia telah melihat tempat tujunya selepas ini.
Jenazah atuk disemadikan pagi keesokannya. Mama menceritakan peristiwa yang berlaku sebelum kepergian atuk.
"Semalam saya datang rumah atuk, masa tu atuk cakap jelas, tak macam masa sebelum-sebelum ni atuk cakap apa pun tak dengar. Bila saya nak balik rumah petang semalam, atuk suruh tunggu buka puasa. Dan atuk ada cakap 'Bapak pun ada 2 jam je lagi'. Masa tu saya dengan Pak Uda saspen juga dengar atuk cakap macam tu. Jadi saya tunggulah sampai buka puasa. Ingatkan selepas buka puasa tu nak balik rumah sekejap. Saya pun on the way balik rumah masa MakLong tiba-tiba call kata atuk dah takda sekejap je selepas saya start kereta nak balik. Saya ingat ada masa sebab masa atuk cakap ada lagi 2 jam tu dalam pukul 6.30 petang. Rupa-rupanya lagi sekejap daripada tu. Nak pukul 8 jugalah atuk meninggal".
Atuk cakap dia ada 2 jam sahaja lagi? Patutlah atuk sentiasa ada sebiji jam loceng kecil di bawah tempat pembaringannya. Patutlah atuk asyik bertanyakan sudah jam berapa semasa kami datang melawat. Patutlah atuk asyik bertanya bilakah Ramadhan 1431 akan menjelma. Patutlah...
Dan kerana atuk pergi dengan senyuman, aku juga tidak mampu untuk menjadi terlalu sedih. Sungguhpun dulu Baba pergi dengan senyuman yang tenang dan tidaklah selebar senyuman atuk, aku begitu sedih waktu itu kerana terlalu banyak kekesalan menyerbu kotak fikiranku. Kekesalan oleh kerana perbuatanku sendiri.
Bila difikir kembali, atuk tidak mensia-siakan kehidupannya selama 82 tahun di muka bumi ini. Atuk mengisi hidupnya dengan ibadah dan amal soleh. Atuk kurang bercakap dan kerap beruzlah. Atuk tidak mengumpat dan menjauhkan diri bilamana cakap-cakap kosong yang sia-sia dituturkan di persekitarannya. Atuk lebih senang berdiam dari berkata-kata. Tidak pernah sekalipun aku mendengar atuk memarahi atau kompelin tentang sebarang perkara selain daripada memarahi orang yang mengumpat.
10 hari pertama Ramadhan merupakan rahmat, 10 hari di pertengahan merupakan pengampunan dan 10 hari terakhir merupakan pembebasan dari api neraka. Semoga atuk ditempatkan di kalangan orang-orang yang dirahmatiNya. Amin.
Labels:
Life,
Love and Death
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment