Listening to: Fantaisie-Impromptu - Frederic Chopin
Buat sahabat baikku Etie di Kampus Puncak Perdana
Wao terujanya rasa hati nak keluar pergi menonton wayang bersama teman baikku iaitu Etie. Macam tak percaya, cuti ni masing-masing duduk rumah, bila cakap pasal kerja sahaja mulalah kedua-duanya ragu-ragu macam apa entah. Padahal malas tu, ehehe. Tapi aku tak, aku ada alasan lain~ muehehe.
Maka hari ni sukalah kiranya aku nak bercerita tentang rakan baikku ini. Kami sudah mula berkawan sejak aku masuk darjah 5 Intan di SK Taman Seri Rampai lagi, cuma kami mula menjadi rakan baik semasa kami dalam darjah 6. Walaupun duduk dalam kelas yang berlainan, iaitu aku kelas 6 Intan dan dia di kelas 6 Mutiara, tapi kelas tambahan UPSR malam-malam kat sekolah tu telah merapatkan hubungan kami, wah~
Masuk sekolah menengah pun okey sahaja. Cuma masuk tingkatan 4 aku gedik nak tukar kelas lain, takut matapelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. Nak masuk kelas Ekonomi, Perdagangan dan Tasawwur Islam tapi cikgu tak mahu benarkan. Katanya, kelas yang aku boleh masuk paling akhir ialah kelas yang belajar Prinsip Akaun tu semua. Sekali aku masuk ada belajar Matematik Tambahan dengan Sains Tambahan, huh amek kau *err...amek aku wuuu*
Maka pada waktu ini aku telah terpisah ke kelas yang berlainan berbanding dengan Etie yang memasuki kelas Sains Tulen tu. Kami lebih jauh lagi terpisah bila aku masuk persembahan merdeka ke-48 kat Dataran Putrajaya. Maklumlah sekolah lama aku tu 'double standard' sikit, kelas pertama boleh duduk belajar kat sekolah, yang kami kelas kedua sampai akhir semua diwajibkan masuk persembahan merdeka tu. Tapi akhirnya kelas sains tulen yang duduk kat sekolah tu tak belajar sangat pun sebab dengarnya cikgu tak semangat nak ajar. Pulak, hehe.
Memang normal lah waktu ini aku kurang berinteraksi dengan Etie, lagipun waktu ni aku adalah terasa hati dengannya sebab merahsiakan dari aku bahawa dia dilantik menjadi pengawas. Sebenarnya dia takut aku berkecil hati, padahal aku okey sahaja. Puan E yang jadi guru pengawas, tak mau la aku masukkan tengkuk~
Habis tingkatan 5, sementara menunggu keputusan SPM, adalah dalam 3-4 kali kami keluar bersama-sama. Pergi pesta buku, KLCC, Petaling Street dan sebagainya. Cuma pada waktu ni aku jakun sikit, sebab selalu duduk rumah sahaja maka sekali dapat keluar dengan kawan memang aku gunakan sepuas-puasnya peluang itu. Keluar pukul 9 pagi balik kadang-kadang sampai pukul 8 malam, ehe teruk kan? Perkara ini jugak telah menimbulkan persepsi buruk terhadap rakanku, padahal kalau tengok semuanya lebih kurang skema sama sahaja~
Akhirnya pada bulan 5 kami sama-sama mendaftar dalam tingkatan 6 di SMK Tinggi Setapak. Semuanya bermula dengan gembira. Rakan sekelas semua best2 belaka, sampai aku kurang beri perhatian kepada Etie si rakan baikku ini. Aku pun tak tahu kenapa, aku seakan menjauh daripadanya. Kasihan dia, selalu keseorangan sedangkan aku bersosial dengan kawan-kawan baru yang lain. Satu hari dia hantar mesej pada telefon bimbitku. Kata bahawa sikap aku kelihatan sudah berlainan berbanding sebelumnya...
"tetapi tidak mengapa, asalkan kau bahagia".
Keesokan harinya aku mengajaknya berbual. Aku rasa betul-betul bersalah. Aku mohon maaf dan menangis. Kami berpeluk. Sebenarnya dialah sahabat sejatiku, dari kecil sehingga dewasa, dari dunia sampai akhirat. Sejak itu kami semakin rapat, aku tak sanggup lagi melukakan hati orang yang menyayangi aku. Aku pun terlalu sayangkannya dan tak sanggup kehilangan kawan sebaik itu.
Pada pertengahan bulan 6, aku mendapat surat jawapan kepada temuduga yang aku hadiri pada 14/4/2007 di Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM Shah Alam. Aku berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina di Kampus Seri Iskandar, Perak. Memang minat aku, (walaupun aku lebih minat senireka dalaman). Tapi bila aku dapat surat tu, aku tak gembira. Aku sudah sayangkan tingkatan 6, sudah sayangkan kawan-kawan baru aku. Etie menggalakkan aku untuk pergi, ibuku juga pernah berkata semasa selesai temuduga bahawa kalau itu yang terbaik untukku, biarlah permohonanku berjaya. Tetapi aku degil. Aku masih mahu sekolah, tak matang langsung. Macam-macam aku fikir. Nasihat orang-orang yang rapat denganku tidak kudengari, aku tidak bersedia. Sepatutnya aku mendaftar pada 30 Jun 2007 tapi sudah ku ambil keputusan untuk menolak. Maka aku pun tak pergi.
Masuk tingkatan 6 atas aku mulai menyesal atas segala-galanya. Tingkatan 6 sangat menyeksakan. Aku sentiasa gagal dalam ujian Pengajian Perniagaan, Bahasa Melayu selalu cikgu tak masuk kelas. Seni Visual matapelajaran yang sungguh menyusahkan. Cinta monyet dari tingkatan 6 rendah melayan aku dengan buruk sampai aku rasakan semuanya sungguh tidak adil. Hampir ke penghujung tahun, sidang redaksi yang kusertai membantaiku, mungkin kerana aku menghantar artikel agak lambat. Habis namaku dimalukan di kelas sebelah oleh Cikgu S yang aku memang dah hilang hormat padanya. Seminggu aku tak datang sekolah. Bengang, marah, geram, benci semua bersarang dalam hati. Etie menyokongku dan memahami perasaanku. Kawan-kawan lain yang kurang rapat tetapi baik denganku, takut untuk memberi sokongan kerana Cikgu S lebih berkuasa, dia yang harus dibodek dan diampu, bukan aku yang cuma seorang rakan sebaya yang tak membawa apa-apa keuntungan pun. Tak kurang juga kawan yang mengkhianati persahabatan, yang telah menjadikan aku cukup berhati-hati dalam memilih kawan sejati hari ini.
Dalam menghadapi kemelut-kemelut di muara kasih tu, Etie sentiasa bersamaku, ponteng kelas pun bersama. Kami akan bersama bersembunyi di belakang sebuah makmal semasa waktu Bahasa Melayu kerana tak mahu bergabung dengan kelas sebelah yang maha berlagak. Waktu buat projek seni, kami akan bersama-sama menjelajah segala kedai peralatan projek seni di Taman Melawati. Tiada siapa yang menjadi ketua, persefahaman itu adalah 'mutual'. Bila aku cerita kepadanya tentang betapa menyesalnya aku tidak menerima tawaran di Kampus Seri Iskandar itu, dia cuma menyatakan
"tu lah kau, dulu orang suruh pergi tak nak"
Haha, memang aku yang salah. Bila ingat balik, rasa macam bodoh sangat. Tapi bila fikir balik kalau aku tak kekal dalam tingkatan 6, aku takkan ada di mana aku ada sekarang bukan? Semuanya dah ditakdirkan, satu kesilapan dalam mengatur langkah telah memberi terlalu banyak pengajaran dalam hidup aku. Tapi aku bersyukur, terlalu bersyukur kerana dikurniakan seorang sahabat seperti dia, yang sentiasa bersama aku menghadapi jatuh bangun dalam kehidupan. Yang tidak meninggalkan aku dalam kesedihan, yang tidak melupakan aku dalam kegembiraan. Aku bersyukur.
Alhamdulillah
No comments:
Post a Comment