Tuesday, 8 April 2014

08/04/14: Permulaan?

Dulu aku pengikut tegar sebuah blog yang aku rasakan setiap bait kata-katanya begitu bijak, begitu tajam, begitu direct tetapi bersahaja, berbunyi jujur dalam gaya yang pandai. Gaya penulisan orang yang membaca. Gaya penulisan orang yang banyak membaca.

Suatu hari, tuan punya blog tersebut berhasrat untuk memadam semua tulisan lama, mengubah tajuk blog dan memulakan dengan penulisan-penulisan baharu yang penangannya sudah kurang berbanding dengan hasil garapannya yang terdahulu. 

Waktu itu, aku rasakan tindakan itu bodoh. Tidak masuk akal. Masakan kau boleh memadam perkara-perkara lalu yang brilliant dengan begitu mudah. Aku mula tidak mengendahkan blognya. Ah, buat apa aku ke situ lagi untuk melihat 3-4 ayat yang sengaja disusun berbunyi horny tetapi tidak membawa sebarang intipati hebat yang selalu aku nanti-nantikan.

Bodoh, kenapa memadam yang lama walhal yang lama itu memang sudah berlaku, bukan engkau boleh putarkan balik masa, setakat putar jarum jam, bolehlah.

Tapi hari ini, aku tidak lagi rasakan tindakan penulis blog itu bodoh. Kerana apa? Kerana aku sendiri yang rasa macam nak padam kesemua entri-entri lama yang telah aku tulis yang aku rasakan begitu bodoh sekali.

Aku mula memahami perasaan sang penulis yang sanggup membuang tulisan-tulisan lamanya yang pastinya cukup berharga buat dirinya.

Aku mula sedar yang sesetengah perkara, tidak berbaloi untuk disimpan, lebih baik dibuang.

Atau mungkin...

Memang aku sudah menjadi sebodoh penulis itu.

No comments:

Post a Comment