Lapang dalam dada,
Bila tiba-tiba
Terasa bayangnya menghilang,
Terasa mampu melepaskan,
Terasa mampu bernafas,
Menghela lagi udara kasih sayangNya,
Terasa lega,
Bebannya konkrit terhapus sekelip mata.
Wah, aku terpaku,
Tetapi jemari pantas menukil
Suatu hasil
Yang buat kesekian kali tampil
Untuk memberitakan bahawa jiwa ini berasa tenang,
Dengan kepergiannya,
Ringannya hati menerimanya,
Inikah jawapan bagi setiap permintaan?
Atau inikah ujian di mana kesetiaan?
Tidak mungkin pilihan kedua itu,
Kerana kesetiaan tidak teruji sama sekali selagi tidak memiliki.
Maka mungkin inilah jawapan
Doa-doa dan permintaan.
Redhakanlah hatiku Ya Allah,
terhadap segala ketentuanMu,
Kerana syurga itu lebih indah,
Aku memohon mendapat rahmatMu.
Bantulah aku Ya Allah,
Bantulah aku untuk mendekatiMu,
Bantulah aku untuk mengenaliMu,
Bantulah aku untuk mencintaiMu,
Bantulah aku untuk mentaatiMu,
Bantulah aku untuk mencariMu,
Dalam setiap hari-hariku
Agar tidak sia-sia kehidupanku
Di atas dunia ciptaanMu,
Wahai Allah Maha Pencipta,
Golongkan aku dalam kalangan orang yang mencari rahmatMu,
Jadikan aku orang yang terkejar-kejar ingin mendekatiMu,
Kerana kasih sayangMu Yang Agung,
Kau hapuskanlah segala nestapa yang tidak berguna
Dan titipkanlah ketenangan dalam jiwa hamba-hamba yang menginginkanMu.
Ya Allah, hamba tahu hamba berdosa,
Hamba kerap menzalimi diri hamba sendiri,
Sering lalai, lupa dengan segala permainan duniawi,
Kadang, mendustakan ni'mat yang Kau beri,
Hamba banyak meminta-minta,
Akan tetapi hanya kepada Engkaulah hamba meminta
Kerana Engkaulah Yang Menguasai segalanya wahai Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Dengan kasih sayangMu Yang Maha Agung,
Aku bermohon,
Ampunilah segala dosa-dosaku,
Jauhkanlah aku daripada segala dusta syaitan dan noda-noda,
Jauhkanlah aku daripada tipu daya dunia,
Hidupkanlah aku dalam iman, dan matikanlah aku dalam iman,
Wahai Tuhan Yang Maha Berkuasa membolak balikkan hati,
Tetapkanlah hatiku di atas agamamu yang lurus,
Janganlah Kau pesongkan hati aku, Ya Allah,
Setelah Engkau memberikan petunjuk kepada aku.
Ya Allah, sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurgaMu,
Namun tidak pula aku sanggup untuk ke nerakaMu
Ya Allah, kembalikanlah aku kepadaMu dalam keadaan syahid,
Kerana tidak kutahu jalan manakah lagi yang dapat membawa aku ke syurgaMu tanpa hisab...
Ampunilah segala dosa-dosa dan kesalahanku, Ya Allah...
No comments:
Post a Comment