Saturday, 26 January 2013

Al-Fatihah...


Entri ini ditulis pagi semalam (25 Januari)
------------------------------------------------

Bagaimana agaknya perasaan bila kehilangan anak?
Maksud hamba, apabila anak dijemput kembali kepada Ilahi.
Bagaimanakah perasaan itu?
Sukarnya untuk hamba mengerti kerana hamba sendiri belum mempunyai anak.
Cuma yang hamba tahu, perasaan bila kehilangan bapa.
Maksud hamba, apabila bapa hamba dijemput kembali kepada Ilahi.
Rasa itu cukup perit.
Rasa tak bertenaga nak buat apa-apa, makan jangan cakaplah, tak ada selera.

Cuma 3 hari sajalah, selepas itu selera makan tiba kembali, cuma taklah se-gah biasa.
Waktu itu, ibu memujuk hamba, kakak memujuk hamba, dan hamba memujuk diri hamba sendiri.
Tak ada gunanya meratapi orang yang telah menyahut seruan Ilahi, yang masih hidup di dunia perlu meneruskan perjalanan sebaik mungkin.
Alhamdulillah, walau dikepung rasa bersalah atas kekesalan kerana tidak menjadi anak yang cukup baik semasa hayatnya masih ada, tetapi hamba tidak hilang akal.

________________________________________________

Pagi tadi, jam 10, hamba terdengar bacaan surah Yaasin dari tempat duduk hamba di pejabat. Maklum sahaja di stesen televisyen, sudah tentulah televisyen dipasang merata-rata di dalam pejabat. Dan alunan surah tersebut datang dari televisyen yang dipasang berhampiran. Hamba melihat beberapa orang rakan sepejabat berdiri di hadapan televisyen yang dipasang pada salah sebuah tiang. Minat mereka terhadap rancangan yang tersiar membuatkan hamba seakan dapat meneka kandungannya.

Apabila hamba menyibukkan diri dalam kalangan mereka, hamba dapat melihat urusan pengebumian jenazah sedang dijalankan, ada beberapa muka yang hamba kenali. Paparan tersebut disunting menjadi 'grayscale'. Ada wajah seorang ibu tua dan seorang ayah yang tua. Ada wajah seorang kakak yang tak hamba sangka akan kelihatan setenang itu. Alhamdulillah, Allah telah memberikan kekuatan kepada mereka.

Jenazah diturunkan ke dalam liang lahad, lalu kafan yang menutup muka dibuka dengan hati-hati. Nyatalah, dia memang sudah 'pergi' mendahului kita.

Pagi semalam, 24 Januari 2013 Masihi, bersamaan 12 Rabiulawal 1434Hijrah, seorang jurukamera TV Al-Hijrah, Mohamad Aimerul bin Mohd Hassim telah kembali ke rahmatullah. Dikhabarkan, dia hampir saja mengikat tali pertunangan tidak lama lagi bersama kakak berwajah tenang yang hamba sebutkan tadi. Ibu bapanya juga kelihatan redha, tetapi hati dan perasaan mereka hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Dia masih muda, kurang dari 28 tahun.

Apabila melihatkan keadaan itu, teringat hamba ketika hamba bertugas dengannya untuk seminggu semasa penggambaran Dokumentari Khas bulan lalu. Dia seperti biasa, ramah dengan gurauan yang menggelikan hati. Memang tiada siapa dapat menjangka perkara ini, semoga rohnya tenang dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh.

Semoga ibu bapanya dan bakal tunangnya tetap tabah. Allah lebih menyayanginya, menjemputnya pulang ke 'kampung halaman' semasa usianya masih muda, tidak sempat untuk berbuat banyak dosa di atas dunia.

Al-Fatihah.

2 comments:

  1. Al-Fatihah utk arwah Angah.. Kehilangannya sgt mberi kesan pd rakan2nya walau lama x bjumpa.. :(

    ReplyDelete