Orang kata jangan berhubungan terlalu rapat, nanti kalau terpisah sakitnya terasa sampai ke tulang. Eh iyakah? Bukan sakit sampai ke tulang, tapi sakit menggigit tampuk hati dan jantung, sakit yang menekan dan merembes air mata.
Memang segalanya adalah sementara. Segalanya adalah pinjaman belaka. Supaya kita sedar diri tidak menongkat dunia. Sekuat mana rasa sayang kita, tak mampu membuatkan kita sentiasa bersama. Kerana sayang kita tidaklah sekuat mana, jika dibandingkan dengan sayang-Nya. Supaya kita sentiasa beringat segalanya akan kembali kepada-Nya.
Bila kita ingatkan diri kita bahawa masa-masa kita bersama tidak akan kekal selamanya, dan masing-masing akan menebar sayap mencari tuju dan hala, bila kita ingatkan diri kita bahawa masa itu pasti akan tiba, dan Allah telah menentukan segalanya, dan Allah merupakan penjaga terbaik untuk dia dan mereka yang kita sayangi, kita pasti menjadi lebih lega. Bukan tidak sakit dan bukan tidak sedih, tetapi sekurang-kurangnya air mata yang terembes keluar adalah air mata kesyukuran dan penghargaan, bahawa pada satu masa kita pernah bahagia kerana kurniaan-Nya dalam hidup kita. Kita bersyukur kita pernah gembira dengan insan-insan yang membawa beribu makna, yang menjadi peneman suka dan duka, yang kita gantungkan sayang dan kotak kaca untuk dijaga.
Setidak-tidaknya, apabila saat itu tiba, kita tidak akan bermuram durja. Dan menyalahkan takdir-Nya, tatkala diri sudah haloba mengingini sesuatu itu selamanya dengan kita. Jangan begitu, sayang. Dengar pantun ini, yang hamba 'extract' dari buku "As I Was Passing" hasil karangan Sri Delima;
Indah bunga bakawali,
Diusik dipetik, jangan...
Hati loba merangkuli,
Hati kasih melepaskan.
*specially dedicated to Azizah Nazaruddin (Azie); Nur Thuraya Khairal Anuar (Yaya a); Fauziah Abdullah (Gee)*
I do miss you so...sampai bila-bila pun sayang korang...
No comments:
Post a Comment