Monday, 10 September 2012

Dah tak tahu nak bagi tajuk apa

Seriously...ini draft untuk...interview di TV Alhijrah ke? Danggg, tak ingat langsung.
Rupanya boleh tahan juga cara aku tulis tahun 2012 dulu ya...

**********************************************************************

Terkilan. Mengecewakan.
Itulah 2 perkataan seringkasnya yang dapat saya gunakan untuk mengekspresi jiwa atas insiden tadi.

Pagi jam sebelas, saya telah pergi ke satu sesi temuduga di sebuah syarikat penyiaran tempatan berkonsepkan Islamik. Selain jaraknya yang tidak begitu membebankan antara pejabat dengan kediaman, saya juga tertarik dengan konsep yang dibawanya. Hijrah untuk kebaikan. Pada hemat saya, ia seperti membawa mesej dunia penyiaran bukan penghalang untuk kita menegakkan dan mengamalkan tuntutan Islam.

Saya juga baru hendak berhijrah, bukan orang alim. Iman senipis kulit bawang. Saya mengharapkan ada kelainan pada sesi temuduga ini. Syarikat lain tak macam ni, dateline lebih penting daripada kewajipan kepada Tuhan. Hati saya berbunga untuk merasai sendiri kelainannya.

Tetapi rupa-rupanya hampa sekali.

Puan A: Kenapa awak memohon di stesen TV ni? Kenapa tidak tempat lain?

Saya: Pertama sekali, salah satu sebab saya pilih sini ialah ia berdekatan dengan rumah saya. Lagi satu, memang saya tertarik dengan lokasinya yang sangat berhampiran masjid, boleh dengar azan, tak adalah terlepas waktu solat.

Puan A: Awak faham tak sebenarnya kerja production ni macam mana? Kita ada dateline. Bukan apa, kadang-kadang orang suka guna alasan pergi solat ni, untuk...untuk...

Saya: (menyampuk cakap) untuk mengelat?

Puan A: Haa untuk mengelat. Habis waktu rehat pukul 2, 2.30 baru masuk, alasan pergi solat.

Saya: Itu saya tak boleh nak cakap apa lah.

Puan B: Kalau awak kena kejar dateline pukul 3, assignment start pukul 12, macam mana tu awak nak laksanakan tanggungjawab sebagai pekerja dan juga untuk solat?

Saya: Kalau jam 3 pun saya masih boleh solat Zohor. Saya siapkanlah kerja saya dan solatlah. Waktu belum habis.

Puan A dan Puan B: (angguk-angguk kepala tanda setuju)

Itulah jawapan selamat saya dalam temuduga. Tapi itu bukan yang sepatutnya. Dan itu bukan yang saya harapkan. Lebih-lebih lagi di syarikat ini. Ditemuduga pula oleh 2 orang Muslim yang cukup faham malahan pasti lebih faham lagi tentang perihal-perihal seperti ini.

Adakah darurat dalam pekerjaan? Mungkin ada.
Apalah salahnya bersolat sebentar, 15 minit sahaja.

Saya memang tak expect langsung akan ada perdebatan sebegitu, saya tahulah kerja ini ada dateline. Kalau pergi event menteri memanglah kita tidak akan sesuka hati meninggalkan event begitu sahaja. Pandai-pandailah mengurus masa.

Tetapi, saya tambah-tambah kecewa lagi bila syarikat ini yang mengatakan benda-benda itu. Kalau syarikat lain saya tak kisah, saya memang tak expect mereka akan mengambil berat sangat perihal solat, tetapi di sini. DI SINI yang menawarkan pelbagai slogan menyeru kebaikan, apakah tidak dapat dipraktikkan?

Apakah ianya mitos semata-mata? Saya tahu, saya sedar kalau kerja production tidak akan ada perkara ideal seperti solat jemaah satu pejabat. Cukuplah dengan dapat pergi solat macam biasa. Kalau tertinggal, itu salah saya dan bukan orang lain.

Tak payahlah mention pasal dateline. Tak payah kaitkan dateline dengan solat. Kalau orang mengelat kerja dah memang salah, nak makan gaji buta. Dan kalau orang mengelat solat pun salah juga, sukar dapat keberkatan dariNya. Awak, sebagai satu badan yang membawa imej Islamik sejati, yang sepatutnya membawa orang kepada kebaikan, termasuklah staf awak, beginikah cara awak berdebat? Saya percaya yang ideal itu boleh berlaku, cara hidup Islamik sebenar dapat diamalkan di samping memberikan perkhidmatan kerja berkualiti.

Awaklah pelopor yang sepatutnya membuktikan perkara ini, barulah akan disegani dan dihormati masyarakat. Orang malas, kerja tak siap, kuat mengelat tidak ada kena mengena langsung dengan pergi bersolat. Sila berhati-hati dengan kata-kata awak dalam sesi temuduga akan datang. Teruklah jika awak jumpa lagi orang seperti saya, akan adalah sebuah lagi blogpost seperti ini.

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Oh tambahan lagi satu yang ditanya

Puan B: Awak ada rancangan untuk bertunang atau berkahwin dalam masa terdekat?

Saya: Tak ada.

Puan B: Katakan awak dah lama kerja, dah berkahwin, dah beranak dan dah habis pantang. Awak kembali berkerja dan harus outstation untuk 5 hari. Macam mana dengan anak kecil awak?

Saya: Saya pun tak ada pengalaman ni, cuma untuk waktu sekarang, inilah jawapan yang dapat saya beri. Saya minta tolonglah orang jagakan sekejap. 5 hari tidaklah lama sangat.

Puan B: Kalau suami awak kata "Apa kata awak berhenti, boleh jaga anak", Apa awak akan buat?

Saya: Kalau suami beri cadangan kerana risau saya tak dapat cope, mungkin saya akan pujuk dia dan kata saya masih boleh bekerja, tetapi kalau dia paksa dan suruh saya berhenti, saya akan berhenti.

Puan A: Jawapan awak itu betul. Kalau suami suruh berhenti awak mesti berhenti. Kerana kerja bukanlah segala-galanya.

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -  - - - - - - - -
Kata terakhir saya untuk blogpost ini:

Kerja bukan segala-galanya. Suami juga bukan segala-galanya (tak dinafikan syurga isteri di tapak kaki suami)

Tetapi perintah Allah, rukun Islam, cara hidup Islam adalah segala-galanya.

  

No comments:

Post a Comment