Tuesday, 4 June 2013

[NUKILAN] Punahnya Separuh Jiwa

Kaca senilai berlian,
Api-api senilai emas,
Puntung bara cacahnya, sakit sungguh.
Bara sehangat cinta
Buta semuanya pada mata
Kiranya air mata itu sia-sia.

Takkan pernah dapat memahami,
selain air dicincang tidak putus.
Itulah falsafah yang menghuni diri
Carik-carik bulu ayam, lama-lama cantum jua.

Walau betapa lukanya dalam,
Begitulah sayangnya tidak luntur
Tidak putus asa,
Mahu sentiasa gembira
Mahu hidup gaya biasa
Mesra
Mengerti jiwa
Tetapi sayangnya,
Sayangnya...
Sayangnya...

Melontar kata, tenang sahaja,
Hebat sahaja,
Menyatakan pendapat di sini sana
Rasional jiwa dibangga-bangga
"Segalanya akan pulih"
"Segalanya pasti baik"
"Hikmah terletak di sebalik setiap kejadian."

Tapi bila kekuatan diri digoyah
Dengan berbagai contengan gila
diatas rasa hormat dan cinta,
Jiwa yang tenang dipukul, dihempuk,
Jiwa yang selalu suka
Dikocak kencang,
Ditembak, dikoyak, disiat-siat, dihempas-hempas, dikerat-kerat.

Matilah semua sisanya,
retak seribu,
pecah berderai,
habis bersepai.
Patah,
musnah, 
punah ranah.

Aanya, 3 Jun 2013

No comments:

Post a Comment