* Entri ni sebenarnya aku tulis pada 27 Jun yang lalu semasa aku baru selepas makan kek keju yang baru pertama kali aku buat dalam hidup ni. Sekarang aku dah habis trauma dah tapi rasanya aku nak share ngan korang perasaan aku masa tu. Enjoy. *
Argh peningnya rasa kepala ni! Oh gila, panjang ceritanya...
Aku sungguh tak menyangka bahawa aku akan membuatkan diriku sendiri trauma dengan kek keju! Kek keju, kemungkinan salah satu jenis kek yang terlalu-lalu aku gemari sejak dari zaman tok kadok dahulu, tiba hari ini, aku berasa sungguh trauma, lidah pun raya macam loya je nak makan. Oh mengapa ini harus terjadi??? Mengapa??? Arghhhhhh!!!!!
Segalanya bermula pada beberapa minggu lepas. Aku sedang melihat-lihat majalah Sajian Jelita yang dah lama terperuk kat dapur. Maklumlah, memandangkan sekarang aku duduk rumah je konon-konon praktis jadi suri rumahtangga, aku memang bila datang mood je, sibuk nak buat ini dan itu. Biskut ini, kek itu, blablabla.
Maka sedang aku menyelak majalah tersebut keluaran November 1997, aku ternampaklah satu resepi kek keju, namanya Kek Keju Nanas Amerika.
Wah bukan main teruja lagi hati ini bila melihat ke-terlalu-amat-mudahnya cara nak buat kek keju ni. Kebetulan memang dalam peti ais ada keju krim yang aku beli dulu, memang bertujuan nak buat kek keju pun cuma tunggu masa sahaja.
Tapi bahan seperti nanas dan lemon tak ada di rumah, maka aku tangguhkan hasrat itu. Sebaliknya pada hari Jumaat dua minggu yang lalu, aku pun telah membuat biskut oat. Pembuatan biskut ini memanglah berjaya memandangkan aku memang pandai betul-betul buat biskut ini sahaja, tambahan pula aku memang sudah membuat biskut ini sejak dalam Tingkatan 3 lagi. Jadi memang macam makan kacang sahajalah.
Kemudian beberapa hari yang lalu, aku dan Mama pergi membeli-belah barangan dapur di Carrefour Wangsa Maju. Maka pada waktu itu aku pun telah membeli bahan yang diperlukan iaitu nanas dan lemon. Nanas tersebut tidaklah begitu masak, jadi aku telah menyimpannya sehingga hari ini, 27 Jun 2011 hari yang amat tragis kerana telah menghilangkan rasa cintaku pada kek keju! Huwaaaaaaaaaa...TT__________TT
Memandangkan nanas dah masak, Mama tolong potong bentuk kiub untuk aku buat, aku pula sibuk memarut kulit lemon untuk dimasukkan ke bahagian base, bahagian base kek keju yang aku buat ini tidak menggunakan biskut, tetapi base yang dibuat sendiri sahaja menggunakan tepung, Planta, gula halus dan juga parutan kulit daripada sebiji lemon.
Pung pang pung pang, dipendekkan cerita kek aku pun dah dibakar dalam ketuhar. Tak sabar sungguh hati ini hanya Tuhan yang tahu, lebih-lebih lagi bila terbau macam roti Danish pun ada, macam croissant pun ada. Bila kek siap, ada juga bahagian yang coklat-coklat macam nak hangus, mujur aku datang tengok on-time, kalau tak mungkin hitam arang pulak jadinya.
Dalam 45 minit selepas dikeluarkan dari ketuhar, (sambil menunggu sambil menonton Teater Lagenda Masam Masam Manis) aku pun turun bawah untuk keluarkan daripada loyang. Memandangkan aku sedang berdiet, memang tidak terlintas pun nak makan kek keju malam ni juga. Tetapi apabila aku telah mengeluarkan kek daripada loyang dan meletakkan kek di atas sebiji pinggan bulat, nafsu makan pun melonjak sebab tengok rupanya yang cantik dan menggoda.
Aku potong satu slice ala-ala Secret Recipe atau mana-mana kedai kek lain pun, ehe~
Sekali makan, "em sedap juga, kurang manis".
Bila tergigit nanas, "eh? Nanas tak manis langsung".
Makan lagi, "rasa masam-masam dengan wangi lemon, nasib baik base ni manis sikit sebab bahagian keju tak manis langsung".
Sesuap demi sesuap dan seterusnya, hingga slice yang pertama habis.
"Wao, sedap betullah! I need to have second helping!"
Aku mengambil pisau dan membuat potongan kedua, potongan ini kecil sedikit daripada yang pertama tadi. Suapan demi suapan masuk ke dalam mulut, terus ke tenggorokan.
"em? sedap, tapi masam, eh masin cheese ni, kuatnya bau lemon, em..em..nanas eugh..pelik..zomg!"
Potongan kedua kek keju pun selesai aku makan. Tapi dalam hati ada perasaan;
"apa yang pelik pasal kek ni agaknya? Mungkin ke sebab gula bahagian keju tu terlalu sedikit?"
Aku mengambil sesudu dua lagi, dan...dan...
Cintaku mati. Aku rasa pening kepala, macam nak demam pun ada. Pening gila baiii. Rasa macam seolahnya dah takkan dapat lagi nak makan kek keju. Rasa macam boleh muntah kalau makan kek keju lagi. Dengar keju tu pun dah bikin kepala aku melayang, bukan melayang syok, tapi melayang macam demam 45 darjah Celsius.
Kesannya, aku pun ratah ikan kembung yang Mama masak kari petang tadi, dan kemudian ambil sedikit nasi dan dimakan dengan kuah kari kosong dan seketul ubi kentang, campur sekali dengan sedikit telur masin yang tinggal. Semua ini aku makan untuk mencuci tenggorokan, mencuci sisa keju yang membuatkan kepala aku berdenyut bagai kuat degupan jantung cemas, berombak hebat bak tsunami.
Sekarang selepas satu jam lebih, aku dan pun minum air putih tetapi kepeningan itu tetap ada, bersarang dan seakan meloyakan tekak bila aku memikirkan kembali. Oh tidak, keju sudah dipangkah dari hidup aku, sekurang-kurangnya sehingga habis tahun 2011 ini.
* Haha, macam tak percaya aku dah jadi normal. Gila-gila macam nak gila masa baru kena penangan Kek Keju Nenas Pening tu. Tapi Banglong kata kek tu sedap~ kui3~ *
bagi akak rase sikit!
ReplyDelete