Wednesday, 22 June 2011

Istighfar Rejab, jom baca sama-sama :)



Hurm, bulan Rejab dah nak habis. Rugi betul aku baru berpuasa selama 2 hari pastu dah tersekat pertengahan jalan. Sekarang baru leh start balik puasa, itu pun tinggal beberapa hari je lagi. Tapi takpelah, baik daripada tak dapat terus kan? Hari ni aku ingat nak share sikit pasal Istighfar Rejab. Mungkin ada yang pernah dengar and ada juga yang baru dengar kut. Istighfar ni aku baru dengar dalam 4 tahun lepas, tu pun sebab selongkar buku yang abang and mama aku baca. Istighfar ni dia tulis dalam buku ni kalau kita baca 2, 3 atau 4 kali Allah swt akan mengampuni segala dosa kita dan kedua ibu bapa. Kalau kita mati dan dosa2 yang kita buat boleh membawa ke neraka, nescaya Allah mengampuninya juga, Kalau nak ukir wat copper tooling siap bingkaikan letak kat dinding rumah pun boleh juga tapi panjang sungguh istighfar ni. Dulu mama ada nak hantar kat kedai tempah orang buat tapi dia tak nak sebab panjang sangat. Jadi jom kita baca je lah ek. Kalau mengaji korang tak lancar macam aku juga bacalah maksudnya saja (hehe, memang aku tulis maksud je pun kat dalam ni sebab aku takde huruf Arab).

Ni ada cerita berkenaan istighfar Rejab. Dulu ada seorang hamba Allah bernama Abdullah Ibnu Al-Syatari yang memang suka baca istighfar ni mengiringi solat malam sepanjang bulan Rejab. Tapi dia juga merupakan seorang yang terkenal dengan kegemaran berbuat fasik dan maksiat. Bila dia meninggal dunia, tak ada sesiapa yang sudi menguruskan jenazahnya sebab perangainya yang popular dengan kefasikan tu. Maka Rasulullah s.a.w. didatangi malaikat Jibrail yang berkata, "Ya Muhammad, tuan hamba uruslah, mandikan, kafankan dan solat ke atas jenazah Abdullah Ibnu Al-Syatari, mengiringi ke kubur dan tanamkan dia". Maka Rasulullah s.a.w dan sahabat pun segera menguruskan jenazah itu.

Setelah selesai solat jenazah, Rasulullah bersama para sahabat mengiringi jenazah sampai ke kubur. Rasulullah berjalan di atas dua hujung kasutnya. Bila dah sampai liang lahad, Rasulullah s.a.w. duduk di kepalanya sambil tersenyum, ini telah menimbulkan kehairanan kepada para sahabat. Setelah kembali, para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w.mengenai kelakuan baginda berjalan di atas dua hujung kasut dan tersenyum atas kepala kubur itu. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Adapun aku berjalan atas dua hujung kasutku ialah aku lihat ramai malaikat berjalan mengiringi jenazah itu hingga tiada ruang aku berpijak ke atas bumi melainkan dua hujung kasutku jua dengan kerana terlalu ramai malaikat. Adapun aku tersenyum itu kerana aku melihat beberapa orang anak bidadari turun dan setiap orang dari mereka membawa piala (bekas) yang penuh dengan Al-Kauthar. Setiap orang berkata: Aku yang memberi minum dia, sehingga berbantah-bantah sesama mereka berebut hendak memberi minum kepada Abdullah Ibnu Al-Syatari, maka aku pun tersenyum"

Rasulullah s.a.w. kemudiannya mengajak para sahabat untuk pergi ke rumah Abdullah Ibnu Al-Syatari untuk bertanya kepada isterinya, apakah sebenarnya yang telah dibuat oleh suaminya sepanjang hidup. Apabila tiba, salah seorang sahabat telah mengetuk pintu dan berkatalah isteri Abdullah Ibnu Al-Syatari: 


"Siapa yang mengetuk pintu rumah orang fasik ni?"


Maka Rasulullah s.a.w. bersabda:


"Hai ibuku yang terlebih baik, bukalah pintu ini untuk kami, bahawa kamilah penghulu segala pesuruh dan kesudahan para nabi."


Setelah isteri Abdullah Ibnu Al-Syatari membuka pintu, Rasulullah s.a.w. bertanyakan apakah amalan yang telah dilakukan oleh suaminya semasa hayatnya. Jawab isteri Abdullah Ibnu Al-Syatari:


"Ya Rasulullah, tiada hamba lihat daripadanya perbuatan yang baik, hanya jahat dan fasik semata-mata, melainkan apabila datang bulan Rejab dia mengerjakan solat sunat dua rakaat setiap malam dan diiringinya bacaan doa istighfar sehingga akhir bulan Rejab."






Maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabat:


"Hai Ali Ibnu Abi Talib, tulis olehmu akan istighfar ini hingga akhirnya"


Maka istighfar itu ditulis dan maksudnya begini...


"Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Dia yang Maha Hidup dan Berdiri SendiriNya dan aku bertaubat kepadaNya dari segala maksiat dan dosa. Dan aku bertaubat kepadaNya dari segala yang dibenci oleh Allah sama ada perkataan, perbuatan, pendengaran, penglihatan dan apa yang terlintas di dalam dada. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon keampunanMu terhadap segala dosa yang telah aku lakukan dan yang akan aku lakukan dan barang yang aku sembunyi dan dosa yang aku lakukan secara terang-terangan dan barang yang Engkau lebih mengetahui dariku. Engkaulah yang mendahulukan dan Engkaulah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.


Ya Allah aku memohon keampunanMu dari setiap dosa, aku bertaubat kepadaMu dari dosa itu, kemudian aku mengulanginya dan aku memohon keampunan bagi apa-apa aku berkehendak untuk melakukannya semata-mata kerana wajahMu yang Maha Mulia. Dan aku telah mencampurkan amalan itu dengan apa yang Engkau tidak redhai. Dan aku memohon keampunanMu dengan apa yang telah aku berjanji denganMu kemudian aku memungkirinya. Dan aku memohon keampunanMu bagi apa jua hawa nafsu mengajak aku melakukannya dari kelonggaran yang mana aku tidak keliru mengenainya sedangkan ianya dalam laranganMu. Dan aku memohon keampunanMu bagi segala nikmat yang telah Engkau kurniakan kepadaku dan kemudiannya aku belanjakannya di jalan maksiat. Dan aku memohon keampunanMu dari segala dosa yang tidak diampuni melainkan Engkau dan tidak seorangpun mengetahuinya melainkan Engkau dan tidak ada yang meliputinya dan tidak yang selamat darinya melainkan dengan keampunanMu. Dan aku memohon keampunanMu dari sumpah yang aku mungkiri dan aku bertanggungjawab ke atasnya. Dan aku memohon keampunanMu Ya Tuhan tiada yang lain melainkan Engkau.


Maha Suci Engkau sesungguhnya aku dari kalangan orang yang zalim. Dan aku memohon keampunanMu. Hai  tiada Tuhan melainkan Engkau yang mengetahui apa yang ghaib dan yang disaksikan dari kejahatan yang telah aku lakukan di dalam cahaya terang dan kegelapan malam, di tempat yang berpenghuni dan tempat yang kosong, dan di dalam rahsia dan terang-terangan. Dan Engkau melihatku apabila aku melakukan dosa, maksiat dan kemungkaran sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ataupun dalam keadaan lupa.


Wahai Zat yang Maha Lembut dan Maha Mulia dan aku memohon keampunanMu hai tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau sesungguhnya aku dari kalangan mereka yang zalim. Dan aku memohon keampunanMu hai tiada Tuhan melainkan Engkau yang mengetahui apa yang ghaib dan yang disaksikan dari kejahatan yang telah aku lakukan di dalam cahaya yang terang dan kegelapan malam, di tempat yang berpenghuni dan tempat yang kosong dan di dalam rahsia dan terang-terangan dan Engkau melihatku apabila aku melakukan dosa, maksiat dan kemungkaran sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ataupun dalam keadaan lupa.


Wahai Zat yang Maha Lembut dan Maha Mulia dan aku memohon keampunanMu hai tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau sesungguhnya aku dari kalangan mereka yang zalim. Tuhanku, ampunilah aku dan rahmatilah aku dan terimalah taubatku dan Engkaulah yang Maha Pengasih dari kalangan mereka yang mengasihi. Dan aku memohon keampunanMu dari setiap amalan fardhu yang aku telah tinggalkan yang wajib ke atasku melakukannya sama ada di hujung waktu siang atau di pinggir malam sama ada aku tinggalkannya secara sengaja ataupun disebabkan lupa ataupun lantaran meringan-ringankannya sedangkan aku bertanggungjawab ke atasnya. Dan juga dari setiap sunnah-sunnah penghulu sekalian rasul dan penutup segala nabi, iaitu Muhammad s.a.w, yang telah aku tinggalkan sama ada disebabkan kelalaian, lupa, kejahilan atau meringan-ringankannya sama ada sedikit atau banyak dan aku sandarkan kepadanya.


Aku memohon keampunanMu hai tiada Tuhan melainkan Engkau yang Maha Esa dan tiada sekutu bagiMu. Maha Suci Engkau Tuhan pemerintah segala alam. KepunyaanMu jua segala kerajaan dan pujian serta kesyukuran. Dan Engkaulah yang mencukupi kami dan sebaik-baik wakil, sebaik-baik Tuhan dan sebaik-baik pemberi pertolongan dan tiada kekuatan dan keupayaan melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar dan selawatlah ke atas penghulu kami Muhammad s.a.w, ke atas ahli keluarganya dan para sahabatnya dan berilah kesejahteraan di atasnya dengan kesejahteraan yang banyak dan segala pemilik, milik Allah Tuhan sekalian alam."


Itulah bunyinya Istighfar Rejab. Tapi ada bahagian yang nampak macam berulang tu sebab dalam buku ni pun dia tulis memang macam tu. Aku takut nak delete2 mana tahu memang ulang nanti aku sebarkan ilmu salah pulak. So marilah kita sama-sama baca dan menghayati maksud istighfar Rejab ni. Sebab hidup kita sendiri pun tak terlepas dari dosa, janji2 kepada Allah yang lazim kita mungkiri (lebih kepada diri saya). Semoga bulan Rejab ni membawa rahmat yang lebih buat kita dan semoga umur kita ada untuk melalui bulan Rejab yang akan datang, insyaAllah. :)




Rujukan istighfar: 


Drs Hj. Hanafi Mohamed, MA Doa-doa Kubra dan Fadhilatnya (2006) Al Hidayah Publishers Kuala Lumpur 

No comments:

Post a Comment